Kepulangan saya ke tanah air sempena cuti musim panas ini disambut dengan kenaikan harga petroleum kepada harga baru RM 2.70 seliter. Memang benar bahawa rasa perit sudah mula dirasai di saat saya menatap angka yang meningkat dengan begitu pantas sewaktu saya pertama kali mengisi minyak setelah pengenalan harga baru ini. Kini saya sudah mula berkira dan berjimat setiap kali ingin bergerak dengan menggunakan kereta. Walau bagaimanapun, rasa perit ini sudah mula meimbulkan beberapa persoalan baru buat diri saya. Bukankah sepatutnya rasa perit dan berkira dengan perbelanjaan petroleum sudah patut bermula sejak pertama kali saya menggunakan kereta? Bukankah selama ini saya sepatutnya membayar harga minyak yang sebenar di pasaran? Mengapakah selama ini sebahagian perbelanjaan bagi kemudahan peribadi saya ditanggung oleh pihak lain?
Subsidi minyak selama ini yang mengekalkan harga minyak di paras yang rendah telah mewujudkan satu budaya baru dan corak keperluan yang salah. Pada pendapat saya, perbelanjaan untuk tujuan kenderaan telah dijadikan prioriti utama oleh kebanyakan keluarga di malaysia, mengatasi perbelanjaan untuk tabung pendidikan dan kesihatan. Hampir setiap individu yang bekerja, daripada pemandu kereta hingglah kepada tuan besar yang dipandu dan duduk di belakang, semuanya memiliki kereta. Bahkan terdapat segilintir mereka yang menghuni kawasan perumahan setinggan turut memiliki kenderaan. Di sini jelas bahawa wujudnya satu prioriti perbelanjaan yang kurang tepat. Harga minyak sebelum ini yang rendah akibat subsidi telah meletakkan kepentingan untuk memiliki kenderaan mengatasi tujuan-tujuan yang lain. Setelah peningkatan harga minyak, sudah mula terdapat pihak yang mengambil inisiatif untuk mengguna pengangkutan awam. Suasana di mana ramai eksekutif muda yang bergegas ke tempat kerja di stesen-stesen keretapi bawah tanah di London seolah-olah sudah mula menunjukkan bibit budaya yang sama di stesen-stesen LRT atau bas di Kuala Lumpur. Walaupun syarikat-yarikat pengangkutan awam di Kuala Lumpur melaporkan bahawa terdapat peningkatan dalam jumlah penumpang mereka, ia masih terlalu awal untuk dijadikan konklusi bahawa peningkatan ini mempunyai kesan langsung daripada peningkatan harga minyak. Kesan-kesan positif seperti ini turut timbul akibat peningkatan harga minyak.
Walau bagaimanapun, untuk berlaku adil saya harus juga mengkritik beberapa kelemahan yang saya rasakan wujud dalam mengimplementasi langkah-langkah kenaikan harga minyak ini. Ke manakah perginya peningkatan kualiti pengangkutan awam di Lembah Klang berikutan pengumuman kerajaan untuk memperuntuk RM 10 billion bagi tujuan ini pada sesi belanjawan lepas? Isu merosotnya jumlah simpanan minyak dunia dan ramalan peningkatan harga minyak telah mula diperkatakan sejak beberapa tahun yang lalu, tetapi kenapa langkah-langkah awal tidak diambil untuk memperbaiki sistem pengangkutan awam secara agresif di Lembah Klang? Jikalau langkah-langkah tersebut diambil, sudah tentu bahang yang dirasai rakyat dapat dikurangkan dan penjelasan bagi tujuan menjustifikasi langkah penarikan subsidi minyak kepada rakyat dapat dilakukan dengan lebih mudah.
Dari segi prinsipnya, saya amat bersetuju dengan penarikan subsidi minyak. Subsidi minyak bukan saja mengekang pasaran bebas dan hukum 'supply and demand', ia juga turut mewujudkan ilusi corak permintaan dan penggunaan petroleum yang salah. Mengikut teori yang simplistik, jika tiada satupun kerajaan di dunia yang mengsubsidi minyak mereka, harga minyak dunia akan mengikut hukum 'supply and demand' di mana setelah harga minyak dunia melambung tinggi, permintaan terhadap minyak akan mula berkurang dan pasaran bebas akan memainkan peranannya dalam menstabilkan harga minyak. Langkah negara-negara seperti China, India,Indonesia, negara-negara Arab mahupun Malaysia untuk mengsubsidi minyak mereka hanya menggangu usaha untuk menstabilkan harga minyak dunia kerana di saat penduduk di negara-negara lain berjimat untuk membayar harga minyak mengikut pasaran dunia, permintaan terhadap minyak di kalangan pengguna di negara-negara yang menerima subsidi minyak,kekal ataupun meningkat tinggi. Apakah kita masih mahu membayar harga minyak yang murah akibat subsidi sedangkan perbuatan kita ini turut menyumbang kepada peningkatan harga minyak di negara-negara miskin dan menambah keperitan pengguna di negara-negara di Afrika? Jikalau saya berkata ya, saya kini sudah tergolong dalam kumpulan orang yang mementingkan diri sendiri.
Mengikut statistik Bloomberg, Merrill Lynch, Malaysia membelanjakan lebih 10 billion ringgit bagi tujuan subsidi minyak pada thun 2007 yang merupakan kira-kira 1.5 % GDP negara. Jikalau Malaysia ingin terus mengekalkan harga lama pada harga pasaran dunia yang melonjak sekarang, Malaysia harus pula menanggung lebih 70 billion ringgit setahun melebihi jumlah perbelanjaan tahunan bagi sektor pendidikan, kesihatan dan pertahanan yang telah digabungkan. Sudah tentu ia menjangkaui batasan logik jika perbelanjaan bagi tujuan kemudahan peribadi melebihi perbelanjaan bagi tiga kemudahan asas yang lain. Mungkin pada peringkat individu pula, pengurangan jumlah subsidi minyak akan membuatkan kita mengikut langkah yang sama. Jumlah pendapatan yang sebelum ini banyak disalurkan kepada kenderaan milik peribadi, kini akan digunakan dan disimpan untuk tujuan pendidikan, kesihatan dan kecemasan yang lebih tinggi prioritinya.
Biar apapun hujah yang menyokong atau membidas pengurangan subsidi minyak, saya begitu pasti dengan kesan positif ini. Malaysia tidak lagi dari segi teorinya menyumbang kepada kenaikan harga minyak dunia dan membantutkan usaha pasaran untuk menstabilkan harga minyak.
Tuesday, 24 June 2008
Subscribe to:
Posts (Atom)